kebasahan gusi

November 22, 2007

Semalam, atau lebih tepat sekitar  jam 9 pagi – gua hampir hilang kawalan kereta kerana pola tumpuan gua dikacau ganggu oleh ‘jokes’ bahasa inggeris di corong radio.  kurang lebih begini runut kelakarnya:

A man trying to propose a woman.

Man      : Will you marry me?

Woman  : No.

And the man live happily ever after.

Gua pecah terbahak-bahak seorang dalam kelisa kelabu.

mereka bohong

November 19, 2007

kepada diluar sana,

gua tertarik dengan dua hal yang tampak semisal, sebaliknya berbeda dan bertokok tindih jika tak disaring elok-elok. hal yang gua maksudkan ialah hal ‘mereka-reka’ dan hal ‘bohong’. hal acuh ini terpetik bila gua mengunyah film ‘bridge to therabithia’ (filmnya agak tawar; tapi penuh bumbu & khasiat!). di laman sesawang ini gua coba luah perihal ‘mereka-reka’ dan ‘bohong’ – dari sisi pandangan marhean. ayoh kita lihat dua contoh petikan dibawah:

1. petang itu pawana sungguh lunak. muka lereng bukit yang luas dan bau rumput musim timur seolah-olah meransang aku supaya lekas berlari. tapak tangan kiri dan kananku kemas memaut buhul benang yang putih ronanya. lebih kurang lima atau enam rantai jauhnya Sanong merentang jarak dari titik aku bertegak, dia melambai-lambai seolah-olah memberi isyarat bersedia!  eratan genggaman aku kemaskan dan mulai dengan kiraan 3..2..1..lepas!.. – aku telah berjaya menaikkan sebuah we bule!!!   

2.ahh.. aku tahu main wau bule, cuma perlu lari laju-laju!

pehatikan kedua-dua petikan, ceritanya biasa saja, hanya berkisar tentang gerak kerja menaikkan we bule (wau bulan!)..tapi yang mana satu ‘mereka-reka’ dan mana satu ‘bohong’ ?  di dalam buku karangan HAMKA bertajuk ‘bohong di dunia’ telah menjelaskan lapis makna ‘bohong’ itu sendiri. tapi gua amat tertarik dengan ‘mereka-reka’ atau dalam bahasa inggerisnya ‘made up’ . jika ditekuni dan disaring, hal ‘mereka-reka’ inilah yang amat defisit dalam rakaman-rakaman persepsi hidup gua. dan selalunya gua akan terimbas pengalaman di abad lalu semasa kecil, hal ‘mereka-reka’ ini acapkali digunapakai terutamanya oleh orang-orang pikun (tua) dalam menambah perasa dalam cerita mereka yang jenuh dengan asuhan – dan gua akan terlopong mendengarnya pula!

mungkin gua rumuskan begini, dalam dialog di bawah, dipetik dari rangkai khayal gua yang tohor (abong disini ialah seorang teman khayal gua-pelukis abstrak dari khayalan-khayalan liar dan menyerbu):

abong: kau pernah main we bule?

gua :  tak pernah

abong: jadi kau berbohong?

gua: tak. aku mereka-reka.

abong: samalah tu!

gua: tidak,ianya berbeza. begini, semasa kau melukis dari pandangan mata we bule, adakah kau pernah menjadi we bule atau setidak-tidaknya melonjak tubuh searas we bule?

abong: tak pernah. aku cuma membayangkannya dan mewaraskannya di atas muka kanvas.

gua: jadi itulah mereka-reka!

…dan gua dan abong meneruskan khayalan kami!!

dari dalam sini

klimaks

November 16, 2007

 ruang jiwa gua akan klimaks jika ke sini; 

klimaks!

hey! jangan salah sangka dulu..ini bukan buku yang itu-itu dan ini-ini tahu!!

kebelakangan ini gua melemaskan diri ke kancah perisian tiruan bentuk; hasil beberapa uzlah dengan diri sendiri dan berguru dengan saudara irwan syah( yg mahu dikenali sebagai syed raboy!)-maka hasilnya seperti gambarajah dibawah:

foto-syok!

foto-syok!

*kepada pembaca(pengunyah hidangan tarian) minta maklumbalas yang jungkir balik!! 

Menekuni Galur Jabatan Laut Malaysia 

INILAH cerita yang menjadi sejarah, menjadi lagenda, menjadi mitos, kemudian menjadi dongeng, menjadi hikayat dan menjadi sandiwara dengan segala kekaguman kemanusiaan serta keunikan lautnya dan labuhan dagangnya. 

 Melaka 

Sekitar abad pertama lagi, Ptolemy, pandai geografi bernasab Yunani yang bermastautin di Iskandariah telah melakar peta Semenanjung Malaysia dan menandainya pula sebagai Golden Khersones yang membawa makna semenanjung emas. Telah diperihalkan juga bahawa Melaka itu sendiri letaknya di sebelah pantai Barat dalam lingkungan semenanjung emas ini. Dan Tom Pires, penulis Portugis di abad lalu pernah menimurkan dirinya hingga merakamkan pula segala rencam kemewahan hasil bumi yang bertumpang-tindih di Melaka ini di dalam bukunya Suma Oriental. Kedudukan Melaka di titik pertembungan jalan perdagangan timur dan barat ketika itu menjadikan Melaka riuh dengan dagang santeri juga saudagar berida dari India dan cincu wangkang dari China.“Inilah kampung dagang santeri; pasarnya banyak tiada terperi; gedung batu kanan dan kiri; riuh rendah sehari-hari.”  Antara syair yang bersipongang memperihalkan keunggulan pelabuhan Melaka dan perairan sekitarnya. Pernah juga Godinho De Eridia, perawi sejarah bernasab Portugis mencatatkan bahawasanya pelabuhan Melaka berperanan sebagai pusat perdagangan antarabangsa yang serba canggih dan tiada terlawan pada garis abad itu. Dikatakan sewaktu itu, pemerintah Melaka iaitu Parameswara; dari titis keturunan Raja Iskandar Zulkarnain daripada Makadonia telah memerintahkan Orang Laut yang menjadi pengikutnya supaya melindungi semua biaperi yang tidak berputusan bertamu ke Melaka.  

Leluhur Syahbandar 

Periode keagungan Melaka ini merentang sekitar tahun 1456 hingga tahun 1511;  hingga mengelaskan marga Melaka kepada tiga golongan yang besar. Antara lapis golongan inilah wujudnya kursi Syahbandar; yakni pegawai yang mengepalai pentadbiran pelabuhan dan menjaga dengan rapi seluruh hal ehwal  biaperi asing di pintu masuk laut Melaka. Selain memungut cukai, Syahbandar jugalah yang memainkan peranan dalam kegelagatan pengurusan gudang dan selok belok kawasan berniaga. Kerencaman pelbagai wangsa dan segala macam bumbu perdagangan menagih satu gabungan usaha yang sulit dan ruwet, selain menuntut Syahbandar supaya tekun dan lebih teliti dalam menangani kepelbagaian fiil dan persilangan budaya yang memboboti  perihal dagang santeri di Melaka. Lalu, terhasillah satu undang-undang bertulis yang wajar sebagai garis dan rukun yang dipegang oleh Syahbandar yang dinamakan Undang-Undang Laut Melaka; supaya tidak kemudian hari Syahbandar menjadi manusia yang kanan dalam tulisan, kiri dalam kehidupan. Syahbandar; satu nama kepikunan yang ulung dan tahan zaman – penjaga laut selbia yang sentiasa waspada berpegang pada buhul undang-undang laut; dari masyrik lalu ke maghrib, dari daksina lalu ke paksina.  

Menyalin Peranan Syahbandar di Abad Kini

Maka datanglah peredaran dunia, setelah tenggelamnya Bahtera Flor De La Mar milik Kapitan Mor Feringghi, membawa ke rakam peristiwa pendaratan marga Wak Pendek dari Negara Matahari Terbit, sehingga British kembali menjarah; peranan Syahbandar masih kejab mewaraskan perihal pelaut  dan meladeni kelautan itu sendiri. Dari pawana pelabuhan Kesultanan Melayu Melaka yang lunak sampai tumpu tahun 1952, lowongan gendang taktun “Syahbandar” pada ketika itu telah berubah gelaran dengan panggilan “Jabatan Laut” pula. Tiap zaman mempunyai kebiasaan namanya yang berbeza-beza; namun lapis makna dan tingkat tanggungjawab Syahbandar mahupun Jabatan Laut itu tidak pernah reda atau beku dalam suatu sistem sosiobudaya; malahan ia bebas berkembang untuk mencapai satu aturan atau sistem pengurusan kelautan yang lebih berimbang dan sigap dalam abad mendatang.  

Glosari1. labuhan dagang – pelabuhan2. santeri – orang-orang yang merantau mencari ilmu3. berida – tua 4. cincu – wakil tuan punya kapal5. wangkang – jong yang kecil; perahu besar6. laut selbia – samudera7. dari masyrik lalu ke maghrib – dari timur hingga ke barat8. dari daksina lalu ke paksina – dari selatan hingga ke utara9. biaperi – saudagar; pedagang 

Rujukan1. Sulalatus Salatin Sejarah Melayu; A. Samad Ahmad2. 1515; Faisal Tehrani3. Hikayat Hang Tuah; Kassim Ahmad4. Syair Siti Zubaidah Perang China; Ab. Mutalib Ab. Ghani5. Buku Sejarah KBSM6. Bacaan rujukan di Khutub Khanah Jabatan Laut