jari2 gua diminta menari baru2 ini; inilah tarian yg acuh dan jongket
November 16, 2007
*kepada pembaca(pengunyah hidangan tarian) minta maklumbalas yang jungkir balik!!
Menekuni Galur Jabatan Laut Malaysia
INILAH cerita yang menjadi sejarah, menjadi lagenda, menjadi mitos, kemudian menjadi dongeng, menjadi hikayat dan menjadi sandiwara dengan segala kekaguman kemanusiaan serta keunikan lautnya dan labuhan dagangnya.
Melaka
Sekitar abad pertama lagi, Ptolemy, pandai geografi bernasab Yunani yang bermastautin di Iskandariah telah melakar peta Semenanjung Malaysia dan menandainya pula sebagai Golden Khersones yang membawa makna semenanjung emas. Telah diperihalkan juga bahawa Melaka itu sendiri letaknya di sebelah pantai Barat dalam lingkungan semenanjung emas ini. Dan Tom Pires, penulis Portugis di abad lalu pernah menimurkan dirinya hingga merakamkan pula segala rencam kemewahan hasil bumi yang bertumpang-tindih di Melaka ini di dalam bukunya Suma Oriental. Kedudukan Melaka di titik pertembungan jalan perdagangan timur dan barat ketika itu menjadikan Melaka riuh dengan dagang santeri juga saudagar berida dari India dan cincu wangkang dari China.“Inilah kampung dagang santeri; pasarnya banyak tiada terperi; gedung batu kanan dan kiri; riuh rendah sehari-hari.” Antara syair yang bersipongang memperihalkan keunggulan pelabuhan Melaka dan perairan sekitarnya. Pernah juga Godinho De Eridia, perawi sejarah bernasab Portugis mencatatkan bahawasanya pelabuhan Melaka berperanan sebagai pusat perdagangan antarabangsa yang serba canggih dan tiada terlawan pada garis abad itu. Dikatakan sewaktu itu, pemerintah Melaka iaitu Parameswara; dari titis keturunan Raja Iskandar Zulkarnain daripada Makadonia telah memerintahkan Orang Laut yang menjadi pengikutnya supaya melindungi semua biaperi yang tidak berputusan bertamu ke Melaka.
Leluhur Syahbandar
Periode keagungan Melaka ini merentang sekitar tahun 1456 hingga tahun 1511; hingga mengelaskan marga Melaka kepada tiga golongan yang besar. Antara lapis golongan inilah wujudnya kursi Syahbandar; yakni pegawai yang mengepalai pentadbiran pelabuhan dan menjaga dengan rapi seluruh hal ehwal biaperi asing di pintu masuk laut Melaka. Selain memungut cukai, Syahbandar jugalah yang memainkan peranan dalam kegelagatan pengurusan gudang dan selok belok kawasan berniaga. Kerencaman pelbagai wangsa dan segala macam bumbu perdagangan menagih satu gabungan usaha yang sulit dan ruwet, selain menuntut Syahbandar supaya tekun dan lebih teliti dalam menangani kepelbagaian fiil dan persilangan budaya yang memboboti perihal dagang santeri di Melaka. Lalu, terhasillah satu undang-undang bertulis yang wajar sebagai garis dan rukun yang dipegang oleh Syahbandar yang dinamakan Undang-Undang Laut Melaka; supaya tidak kemudian hari Syahbandar menjadi manusia yang kanan dalam tulisan, kiri dalam kehidupan. Syahbandar; satu nama kepikunan yang ulung dan tahan zaman – penjaga laut selbia yang sentiasa waspada berpegang pada buhul undang-undang laut; dari masyrik lalu ke maghrib, dari daksina lalu ke paksina.
Menyalin Peranan Syahbandar di Abad Kini
Maka datanglah peredaran dunia, setelah tenggelamnya Bahtera Flor De La Mar milik Kapitan Mor Feringghi, membawa ke rakam peristiwa pendaratan marga Wak Pendek dari Negara Matahari Terbit, sehingga British kembali menjarah; peranan Syahbandar masih kejab mewaraskan perihal pelaut dan meladeni kelautan itu sendiri. Dari pawana pelabuhan Kesultanan Melayu Melaka yang lunak sampai tumpu tahun 1952, lowongan gendang taktun “Syahbandar” pada ketika itu telah berubah gelaran dengan panggilan “Jabatan Laut” pula. Tiap zaman mempunyai kebiasaan namanya yang berbeza-beza; namun lapis makna dan tingkat tanggungjawab Syahbandar mahupun Jabatan Laut itu tidak pernah reda atau beku dalam suatu sistem sosiobudaya; malahan ia bebas berkembang untuk mencapai satu aturan atau sistem pengurusan kelautan yang lebih berimbang dan sigap dalam abad mendatang.
Glosari1. labuhan dagang – pelabuhan2. santeri – orang-orang yang merantau mencari ilmu3. berida – tua 4. cincu – wakil tuan punya kapal5. wangkang – jong yang kecil; perahu besar6. laut selbia – samudera7. dari masyrik lalu ke maghrib – dari timur hingga ke barat8. dari daksina lalu ke paksina – dari selatan hingga ke utara9. biaperi – saudagar; pedagang
Rujukan1. Sulalatus Salatin Sejarah Melayu; A. Samad Ahmad2. 1515; Faisal Tehrani3. Hikayat Hang Tuah; Kassim Ahmad4. Syair Siti Zubaidah Perang China; Ab. Mutalib Ab. Ghani5. Buku Sejarah KBSM6. Bacaan rujukan di Khutub Khanah Jabatan Laut
chowrasta,penang road.
Julai 17, 2007
ruang dakwat: sisa-sisa buku yang terperosok ke belakang; di bahagian atas pasar yang suram.
(gambar ihsan dari Tuan Zamir-perawi seni Hulu Kinta)

“melata”

hari-hari terakhir jilidan kertas di rak-rak sejarah membuat otak kananku berimaginasi liar; siapa marhein yang melata di dada bumi mampu meneguk apungan dakwat yang terhidang ini?
kabus teknologi
Julai 17, 2007
masih terkial-kial dan jakun dalam usaha melarutkan diri dalam buih-buih wordpress ini…menimba laut memanglah penat..mengakrabkan diri dengan teknologi seperti ini mendidik gua menjadi sabar..terimbau pujukan sang ummi di ruang zaman khalifah, “sabar anakku, makanan kita masih belum masak”-(umminya merebus batu!)
menjengah ke ruang sesawang
Julai 17, 2007
salam blog.
setelah beberapa kali tertangguh, en.fafarukruk telah membaratkan diri ke sepetak ruang di kantor gua; lantas berhujah dan bersabda umpama yang arif maha pandai mandai mengenai wordpress. maka, sahibul hikayat terjengah terjojol keluar rakam ruang ini sebagai metafora-mora rakam rasa seorang gua yang sedikit gagap. bersedialah wahai kalian ketul-ketul rakyat laman sesawang untuk menjamah ruang sajian gua yang bermula pada 2 rejab ini. merdekalah kami dari kealpaan!!
akan tulis lagi.
-zawan baba-