genderang manggar

Januari 31, 2008

kenderaan manggar

gua akan cuti walimatul urus mulai esok. lusa, gua akan menggagahi genderang manggar pandai terbang ini pulang ke kampung. dengan amat perlahan, gua melucutkan saduran rencah sang bujang – lalu menyarung salutan perisa rumahtangga pula. (saat ini gua memujuk halwa koklea dengan [tenacious D -'tribute' ] ... jack black memanglah isim!!

- rakam ruang akan berjeda seketika -

merenjis makna

Januari 30, 2008

kartu undangan di bawah gua fikir sudah cukup untuk menjelaskan semuanya sekaligus ;

kartu jemputan

benar, gua akan jadi mempelai.  maksudnya gua akan berhenti jadi bujang – lalu menyadur diri dengan busana sang suami. jemputlah ke majlis gua ya!

lain ruang lain rasa (2)

Januari 29, 2008

airasia

gaya membaca ini sebenarnya memang melemaskan.   bucunya sempit, ruangnya terbatas, geraknya dikongkong,  ‘meja study’ nya berpotongan mini  – semua ini menghantar suhu rengsa dalam iklim yang mendera! .  dengan tuntutan ‘migrain‘ yang sentiasa memburu ruang tenggorok gua, posisi ini kadangkala membasmi serangan ‘migrain’ itu seketika – melupakan sejeda platun tentera ’migrain‘ yang pongah menghentam saraf di kepala gua!   ya, itulah ’barah’ yang gua sering alami dan gaya inilah penangkis utama.   memang ada hidangan lain yang boleh dijamah, tapi apa lagi yang boleh dikunyah bila diri diapungkan beribu-ribu kaki daripada aras laut ke udara?

gedung aksara

Januari 29, 2008

novelhut

sepetak ruang dagang sastera yang wajib gua takah jika selisih dengan bandar ipoh. buku2 di sini harga dagangnya memang sangat munasabah; ditokok pula dengan mutu kertas+kulit nya yang masih baik. selalunya gua akan memujuk perut dengan nasi ikan pari portugis di medan sajian setelah 1-2 jam memerap diri di sini. tetapi buku2 sastera memang sudah tiada – sebab gua dah raih hampir kesemuanya… haha!

menagih masa

Januari 29, 2008

maggi

ramai yang mengkelaskan maggi dalam kelompok ’junk food’ .. tapi di sini bukanlah ruang untuk gua memperihalkan tentang zat @ gizi @ khasiat @ pati yang tak berimbang atau apa saja ‘junk’ yang ramai tuturkan tentang maggi. cuma sejak dari era gua mengenali maggi lagi (umur 5 atau 6 tahun mungkin), gua fikir bahawasanya maggi mengasuh kita tentang erti ‘meminta’.  selama ini dan hingga hari ini pun, maggi cuma ‘meminta’2 minit – daripada ruang masa kita yang terlalu sibuk dengan kegelagatan masing2. ya, cuma 2 minit .  2 minit sudah cukup untuk melunakkan deria bau dan lidah kita – dan gua terasuh dengan cara hemahnya maggi ‘meminta’ masa!   dalam keruwetan meladeni hari2 mendatang, gua akan lebih menghargai dan berwaspada dalam ‘menagih masa’ seseorang…

 p/s: yang di belakang itu ‘degup’ -jantungnya pentafsir maggi- haha !

‘coba’ teka siapa itu

Januari 28, 2008

abang helmy samad

cuba teka siapa?…

1. jejaka berona biru -yang rambutnya berumbai-umbai;

2. juga jejaka, tetapi separuh mukanya ditumbuhi ‘tumor’ elipsis! haha..

   …siapa yang tahu jawapannya akan gua belanja nasi itik dan air serbat!                                                                                                                                                                

dua(2) ruang

Januari 28, 2008

langit-bumi

ruang langit memang tak pernah jemu mengerjip ruang bumi, dan ruang bumi dengan- laut, sungai, tasik, alur, paya, lopak, kali, tadahan -nya pula tak muak membiaskan raut langit. keseringan pertentangan ini mengasak benak gua supaya bertanya, “dalam kita meng’angkasa’kan minda(pemikiran) supaya hamil dan tidak mandul, kenapa perangai kita masih di’bumi’kan?” ..dan sikap suka ‘membumikan perangai’ ini kerap pula gua terserempak di bingkai ibu kota - ya, bunyinya mungkin agak memimik gaya tokoh motivasi, tapi itulah yang Pendeta Za’ba pernah suratkan dalam bukunya – ‘Perangai Bergantung Kepada Diri’ – dan buku ini telah dilarik di abad lalu. Angkasa atau Bumi?-pilih saja sendiri.

kenapa buku?

Januari 28, 2008

bucu aksara
pulang khayal ke tahun 2005 di awal alaf, gua mengakui bahawasanya buku ialah guru yang tak pernah memukul; malahan sentiasa memberi, dan terus memberi  – memberi inti kewarasan juga kelunakan. kembali khayal ke tahun 2008, gua sering kecanduan dan akan diserang resah yang tak menentu jika renggang daripada buku.
buku, memang susunan aksara dan apungan hurufiah yang sentiasa tampak indah -dan terkadang-kadang mencuit rasa gelisah!!

lain ruang lain rasa

Januari 28, 2008

feri

tanpa diduga, latar alam juga memberi rasa nikmat yang beragam bila mengunyah aksara. dan gaya membaca juga kadangkala mengalirkan kelazatan yang berbeda  [ duduk, berdiri, terlentang, meniarap, bertinggung, bersimpuh, mengiring, bersandar, tergantung(ada ka?)]  semua penelaah ada gayanya; dan gua merindui gaya dan latar ini – santai di kerusi panjang (dan keras!) feri, disapa pawana ramah dan ditokok hanyir laut. ahhh, bila lagi ya mahu begini?

pasang-surut

Januari 28, 2008

6 muharam, 1429. sekitar 7.57 pagi.

gelintar ditengah-tengah ombak insani dan kenaikan -gua sunyi dalam ruang diri sendiri; terkebil menyeluruhi ruang dan bucu (rupa-rupanya alam ini memang sebati dengan masyarakat!)

pagi itu iklim di langitnya ramah; cuma iklim di buminya agak ruwet. manusia dan mesin tergesa  - membimbit ‘arah’ jihat masing2  -  gua lekas-lekas (tanpa diminta) terhantar untuk  memisalkan suasana ini dengan laut. mendadak segerombol insani dengan kegelagatan yang rencam melintas jalan  -  ke satu pola arah. di bucu lain, sebusa insani tergaul dalam lintasan ‘zebra’ menggagahi denai kaki -juga ke satu pola arah. di dada jalanraya, [ mesin+jentera=kenaikan ]menderam bagaikan arnab perengus yang luka dan murka -pangkah-memangkah -gulungan asapnya serupa kapas hitam merelung terus ke rahim cakerawala. dalam lingkungan ‘air pasang’ itu, gua melarutkan deria lidah dengan kafeina -RM1.70- hmm, boleh tahan! 

santak 1 jam @ tumpu jam 9 pg, ‘air pasang’ - bancuhan insani dan mesin – mulai reda, airnya linang sekali.  dengan hujung lidah yang masih terkesan dengan pahit kafeina, gua melangkah jejak ‘air pasang’ tadi  – sambil rangkai khayal gua cepat menyimpulkan - ” petang ini, sekitar jam 5, akan ’surut’ lah… kembali semuanya dari pantai rezeki ini.”

begitulah suatu pagi di megan avenue, jalan yap kuan seng di ibu kota.